fbpx

Duda dituduh rompak dua wanita di dobi, belakang kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUR RAZZAQ didakwa melakukan rompakan ke atas dua wanita di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak dua wanita di Kulai, minggu lalu.

Tertuduh, Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan itu dibacakan di dua mahkamah berasingan.

Di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok, bapa tunggal itu didakwa merompak harta milik seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun yang mana ketika melakukan rompakan itu, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lorong belakang sebuah kedai di Jalan Sri Putra 1, Bandar Putra, kira-kira pukul 8.45 pagi, 4 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim pula, tertuduh didakwa merompak harta milik seorang wanita tempatan berusia 37 tahun dan didakwa mendatangkan ketakutan akan mencederakan mangsa ketika melakukan rompakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai, kira-kira pukul 8.45 pagi, pada hari yang sama dengan kes pertama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Maisarah Hassan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah yang tinggi iaitu RM20,000, jika mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin.

Manakala, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin juga mencadangkan jaminan RM20,000 sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.

Abdur Razzaq yang tidak diwakili peguam itu memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan dia yang sudah bercerai dengan isteri menanggung anak tunggalnya yang berusia 12 tahun.

“Saya hanya bekerja sendiri iaitu membaiki motosikal di rumah dengan gaji yang tidak menentu kira-kira RM1,500 sebulan,” katanya.

Hakim Thalha dan Che Wan Zaidi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM9,000 dan RM10,000 serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Dua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mei depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI