fbpx

Dortmund anggap sudah tersingkir UCL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Dortmund kelihatan sugul dan kecewa selepas tewas 0-4 kepada Barcelona awal pagi semalam. - AFP

BARCELONA – Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Niko Kovac mengakui barisan pemain menampilkan aksi tidak bermaya selepas tewas 0-4 kepada Barcelona pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.

Pada perlawanan itu, Dortmund gagal menyekat asakan bertali arus yang dilakukan oleh tuan rumah untuk meraih jaringan menerusi dua gol Robert Lewandowski dan masing-masing satu daripada Raphinha serta Lamine Yamal.

Kata Kovac, saingan masih lagi berbaki 90 perlawanan tetapi pasukan perlu bersikap realistik bahawa peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir UCL musim ini sudah tertutup sepenuhnya.

“Ini adalah kekalahan yang cukup perit untuk diterima kerana jika kita berjaya menjaringkan gol, mungkin aksi kedua nanti lebih terbuka. Namun, kita layak untuk tewas berdasarkan aksi yang dipamerkan sepanjang 90 minit kali ini.

“Kalau boleh saya mahu kekal optimis tetapi lebih baik kita bersikap realistik. Ini adalah keputusan yang mengecewakan dan peluang untuk kita melangkah ke pusingan seterusnya seperti sudah berakhir,” katanya.

Sementara itu, penyerang Dortmund, Karim Adeyemi mengaku prestasi pasukan pada kali ini cukup memalukan tetapi menyeru agar rakan-rakan tidak menyerah kalah dan tampil lebih baik pada aksi di laman sendiri minggu depan.

“Saya rasa kita masih ada peluang terutama apabila beraksi di laman sendiri nanti. Di atas kertas, segalanya nampak mustahil selepas apa yang dipamerkan pada perlawanan ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI