fbpx

Dipeluk, cuba ditarik masuk dalam semak ketika joging

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI yang dikatakan seorang menjadi mangsa serangan seksual seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang berjoging di Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dia dipeluk dari belakang dengan keadaan mulutnya ditekup individu tidak dikenali ketika berjoging di Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa juga cuba ditarik masuk ke dalam semak oleh suspek, namun diselamatkan oleh orang awam yang menyedari kejadian tersebut.

Kejadian serangan seksual itu turut dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem melalui hantaran di Facebook miliknya hari ini.

“Mangsa dipeluk dari belakang, mulutnya ditekup dan dicabul sebelum suspek cuba menariknya ke arah semak berhampiran.

“Nasib baik ada individu lain yang melalui kawasan itu dan membantu mangsa, sekali gus menyelamatkannya daripada terus menjadi mangsa,” tulisnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu turut memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berhubung kejadian itu.

“Pihak MBMB akan menambah rondaan anggota penguat kuasa di kawasan tersebut. Saya juga ingin mengingatkan orang ramai, terutamanya wanita agar lebih berhati-hati, terutama apabila berjoging seorang diri pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI