KUALA LUMPUR – Polis sedia menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun media sosial ‘Ratu Naga’ dipercayai menyebarkan rakaman video insiden pergelutan antara peniaga belon dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat laporan dibuat ke atas pemilik akaun media sosial berkenaan.
“Ya, jika dia (Ratu Naga) yang buat hantaran itu dan ada laporan terhadapnya, kenapa tidak (menyiasat).
“Namun kita perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Rusdi berkata, mana-mana individu yang membuat hantaran jelik atau sebagainya boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, dua kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan masih menunggu arahan lanjut.
Katanya, dua kertas siasatan itu membabitkan Seksyen 325 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, tular video pergelutan antara peniaga belon dan anggota penguat kuasa DBKL pada 28 Mac lalu.
Akibat insiden itu, abang belon atau nama sebenarnya Muhammad Zaimmuddin Azlan, 28, didakwa cedera retak tulang belakang. – KOSMO! ONLINE