KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap pembinaan sebuah struktur kuil sementara di Lot 205 (PT 200), Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, di sini yang dilaksanakan tanpa kelulusan.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, kawasan pembinaan kuil tersebut merupakan tapak milik persendirian.
“Pihak DBKL telah mengeluarkan beberapa notis penguatkuasaan di bawah Akta 267 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, termasuk arahan henti kerja dan tindakan seal terhadap struktur sementara berkenaan.
“Hasil semakan di tapak mendapati kerja pembinaan struktur sementara tersebut telah dihentikan,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, struktur sementara itu adalah penempatan sementara bagi dewa-dewa kuil sedia ada susulan kerja pembangunan semula tapak sebagai kompleks komersial.
“Struktur ini adalah untuk kegunaan peribadi pemilik dan bukan untuk awam.
“Pemilik turut memberi jaminan bahawa struktur sementara ini akan dialihkan dan mereka akan mematuhi semua peraturan DBKL,” jelasnya.
Tambahnya, DBKL juga telah mengarahkan pemilik untuk mengemukakan permohonan kebenaran merancang secara rasmi untuk pertimbangan. – KOSMO! ONLINE