GEORGE TOWN – Siapa sangka, dalam usia baru 19 tahun, seorang abang terpaksa memikul tanggungjawab berat dengan menjaga empat adik beradiknya setelah kematian ibu bapa selain sanggup berkorban tenaga demi menyara keluarganya itu.
Kehidupan lima beradik yatim piatu itu bagaimanapun telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang berkunjung ke kediaman mereka di Permatang Tengah, Balik Pulau di sini, Selasa lalu.
Menurut Muhammad Bakhtiar, beliau telah meluangkan masa menziarahi lima beradik yang sedang menanggung duka kehilangan ibu bapa mereka dalam tempoh hanya lima bulan akibat serangan jantung.
“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa dalam dan peritnya kesedihan yang mereka (lima beradik) tanggung. Anak sulung baru berusia 19 tahun, kini memikul tanggungjawab besar menjaga empat beradik lain termasuk si bongsu berusia sembilan tahun.
“Dalam usia semuda itu, Along (panggilan untuk si abang) memilih untuk berniaga demi menyara adik-adiknya dan meneruskan kehidupan mereka yang tiba-tiba berubah sekelip mata.
“Saya berjanji kepada Along untuk membantunya. Saya sediakan peralatan berniaga yang dia perlukan agar dia dapat memulakan langkah dengan lebih yakin,” katanya menerusi video yang dikongsikan di TikTok miliknya, hari ini.
Beritahu beliau lagi, datuk dan nenek lima beradik tersebut kini uzur manakala ibu saudara masing-masing mempunyai keluarga sendiri.
“Namun mereka tetap terpanggil untuk membantu anak-anak arwah adik mereka ini. Cinta dan kasih sayang itu nyata walaupun diuji seberat ini.
“Saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana rasanya kehilangan kedua ibu bapa dalam usia yang masih muda. Kehilangan yang berlaku begitu cepat, dalam tempoh hanya lima bulan. Meninggalkan luka yang sangat dalam.
“Semoga Allah limpahkan kekuatan, rahmat dan perlindungan buat mereka semua. Semoga kita yang masih hidup, punya keluarga ini lebih menghargai, lebih bersyukur dan lebih peduli pada mereka yang diuji sebegini hebat,” ujarnya.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Haszaliza Hashim (ibu saudara) di talian 018-404 3021 atau menyumbang ke akaun Agro Bank (Haszaliza Hashim) 2007131000023029. -KOSMO! ONLINE