fbpx

Bayi maut: Taska tidak berdaftar JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUATKUASA JKM Johor menampal notis arahan berhenti operasi terhadap sebuah premis rumah yang dijadikan sebagai pusat jagaan kanak-kanak kerana tidak berdaftar di Kangkar Pulai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Premis asuhan yang menempatkan seorang bayi lelaki berusia lima bulan yang dilaporkan meninggal dunia di Kangkar Pulai, di sini kelmarin didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri telah menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, semalam.

Menurutnya, bayi berkenaan telah dijaga pengasuh wanita tersebut sejak berusia tiga bulan.

“Pengasuh telah menghadiri Kursus Asas Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) pada tahun 2016. Pengasuh juga telah menjalankan perkhidmatan menjaga kanak-kanak di rumah sejak 2022.

“Bagaimanapun, dia tidak membuat sebarang pemakluman notifikasi pengasuh di rumah kepada JKM dan tidak pernah mendaftarkan premis rumah tersebut di bawah Seksyen 7 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984,” katanya iketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khairin-Nisa memberitahu pihaknya telah mengeluarkan notis Lak di bawah Seksyen 20A Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 bagi memberhentikan operasi penjagaan kanak-kanak di premis itu, hari ini.

Khairin-Nisa turut menegaskan keperluan golongan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak untuk cakna dengan memastikan taska atau pusat jagaan anak-anak dipilih berdaftar dengan JKM

“Tujuannya adalah bagi mengelakkan berlaku kes seperti kecuaian, pengabaian dan penderaan daripada berlaku. Ibubapa atau penjaga boleh memperoleh senarai taska berdaftar melalui semakan di laman sesawang www.jkm.gov.my.

“Sekiranya orang ramai mendapati mana-mana premis yang beroperasi sebagai taska tidak berdaftar, aduan boleh dibuat kepada Talian Kasih di 15999 atau Whatsapp nombor 019-2615999,” jelasnya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh ibu mangsa yang berusia 31 tahun pada pukul 4.24 petang, kelmarin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI