BARCELONA – Pengendali Barcelona, Hansi Flick mengakui pasukannya masih belum boleh mendabik dada meskipun berjaya mencatat kemenangan 4-0 ke atas Borussia Dortmund dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Catalans tidak mempunyai masalah untuk meletakkan sebelah kaki ke peringkat suku akhir menerusi dua jaringan Robert Lewandowski dan satu daripada Raphinha serta Lamine Yamal.
Menurut Flick, barisan pemain telah menunjukkan prestasi yang konsisten ketika ini tetapi pasukan masih belum boleh dianggap sempurna kerana saingan masih berbaki 90 minit perlawanan.
“Saya harap tumpuan mereka tidak terjejas dengan keputusan ini kerana masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Pemain telah beraksi dengan baik tetapi barisan kejurulatihan tetap akan melakukan analisa.
“Meskipun kita berjaya menjaringkan empat gol, pasukan masih belum mara ke pusingan seterusnya dan bola sepak adalah sukan yang sukar diramal. Justeru, saya mahu pasukan kekal fokus bagi harungi aksi kedua nanti,” katanya.
Sementara itu, Flick turut memuji impak Raphinha yang menjadi penjaring terbanyak UCL musim ini selain menyamai rekod Lionel Messi bersama Barcelona dengan terlibat dengan 19 gol termasuk tujuh bantuan jaringan.
“Raphina adalah seorang pemain di posisi serangan yang cukup dinamik. Ketika ini dia beraksi dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan pasukan dapat melakar kemenangan yang dicari,” katanya. – AGENSI