BATU PAHAT – Keadaan air masih bergenang di halaman rumah di kawasan terlibat banjir termenung di Parlimen Sri Gading menyebabkan sebahagian penduduk masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sri Gading hingga hari ini selepas dibuka pada hari Khamis minggu lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN), Tan Sri Azmi Rohani berkata, seramai 210 mangsa daripada 65 keluarga masih berada di PPS sehingga pukul 4 petang hari ini.
Katanya, tinjauan di Kampung Parit Haji Salleh Ros mendapati paras air mencatatkan kedalaman 0.12 meter di halaman rumah beberapa penduduk, manakala di Kampung Sri Muar sedalam 0.04 meter.
“Keadaan kawasan halaman rumah dua kampung berkenaan masih terdapat air banjir termenung, keadaan cuaca mendung,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata,paras air di Sungai Senggarang juga sudah menunjukkan penurunan kepada hanya pada 3.20 meter berbanding paras bahaya 3.50 meter.
Ujarnya, Sungai Batu Pahat pula turut menunjukkan penurunan paras air kepada hanya 2.30 meter berbanding paras bahaya 3 meter.-KOSMO! ONLINE