PETALING JAYA – Sejumlah 10 keluarga berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights hari ini selepas dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan setakat tengah hari ini.
Menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 301 orang daripada 78 keluarga masih ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights.
Sementara itu, dua lagi PPS dibuka di Klang iaitu Sekolah Sungai Binjai, Meru dan Dewan Azalea Taman Sri Muda bagi memindahkan mangsa banjir.
Kedua-dua PPS itu menempatkan 134 mangsa daripada 33 keluarga melibatkan 40 lelaki dewasa, wanita dewasa (39) serta kanak-kanak (54) serta seorang bayi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan beberapa kawasan di Shah Alam, Klang dan Puchong dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE