SUBANG JAYA – “Sebelum ini pernah banjir, tapi kali ini agak teruk dan berlaku pada bulan April berbanding kebiasaaan pada hujung tahun.”
Demikian kata penduduk, Hanis Aufa, 26, yang memaklumkan banjir pagi semalam berlaku sangat pantas.
“Saya berada di rumah ketika kejadian (banjir). Hujan lebat bermula sejak malam tadi. Terlintas dalam fikiran kemungkinan akan berlaku banjir. Pada pukul 6 pagi, saya mendapati air sudah mula naik ke kawasan rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Hanis, kesemua penduduk di Lorong Bistari 7 dan Kampung Sri Aman terjejas dalam kejadian itu ekoran limpahan air Sungai Klang yang terletak berhampiran kawasan penempatan mereka.
Katanya, rumah jirannya dimasuki air pada pukul 10 pagi, namun sudah surut.
“Sekarang kami dalam proses membersihkan kawasan yang terjejas. Air naik paras paha lelaki dewasa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Siti Zuhairah Mohd. Jahis, 22, berkata, dia terjaga selepas dikejutkan oleh jirannya pada pukul 4 pagi yang memaklumkan kawasan mereka dinaiki air.
“Ketika itu air naik ke paras betis. Suami saya segera mengalihkan kenderaan bagi mengelakkan kerugian lebih besar,” katanya.
Menurut Siti Zuhairah, mereka sekeluarga baru pulang ke rumah selepas menumpang di rumah bapa ekoran insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
“Semasa kejadian letupan gas, saya berada di kampung. Apabila pulang dari kampung, saya mendapati pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights sudah penuh. Jadi, kami menumpang di rumah bapa saya,” ujarnya.
Tambahnya, kawasan perumahannya pernah dilanda banjir sebelum ini dengan kejadian terburuk pada tahun 2021.
“Petang tadi, air mulai surut dan saya mengemas apa yang patut. Kami juga bercadang untuk bermalam di hotel untuk sementara waktu,” katanya kepada Kosmo! -KOSMO! ONLINE