fbpx

BAC 2025: Soon Huat-Shevon terima kejutan di suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOON Huat-Shevon kempunan melangkah ke separuh akhir BAC 2025 selepas tewas kepada beregu Indonesia. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Langkah beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai tersekat di pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 yang berlangsung di Ningbo, China.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, gandingan No.3 dunia itu terpaksa akur tewas straight set 15-21, 11-21 kepada Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dari Indonesia.

Keputusan itu boleh dianggap mengejutkan berdasarkan status mereka sebagai pilihan ketiga kejohanan selain berdepan pasangan lawan yang sekadar menghuni kedudukan ke-25 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, aksi tersebut merupakan pertemuan sulung antara kedua-dua beregu dengan Soon Huat-Shevon turun sebagai pemain pilihan untuk meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir pada kejohanan itu.

Kekalahan itu juga menyaksikan mereka gagal mengulangi pencapaian terbaik melangkah ke separuh akhir pada edisi 2023, namun mengatasi keputusan musim lalu di mana mereka tersingkir seawal pusingan pertama.

Pada masa sama, badi suku akhir Soon Huat-Shevon berterusan apabila itu merupakan kali keempat berturut-turut mereka tersingkir di pusingan tersebut termasuk pada Indonesia Masters, All England dan Terbuka Switzerland.

Menjelang aksi separuh akhir esok, Hidayatullah-Felisha akan berdepan pemenang perlawanan antara beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dan wakil tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Selepas ini, Soon Huat-Shevon dijangka melakukan persiapan terbaik bagi menggalas misi bersama skuad badminton negara pada saingan Piala Sudirman di Xiamen, China bermula 27 April 4 Mei depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI