KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa akur gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.
Pada aksi suku akhir di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, pasangan No.2 dunia itu mempamerkan semangat juang cukup tinggi sebelum tewas 16-21, 21-18, 20-22 kepada wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Meskipun tewas, namun Sze Fei-Izzuddin yang lebih mesra dengan julukan DinFei itu membuktikan status mereka sebagai pilihan utama apabila langsung tidak memberikan laluan mudah buat pemain lawan.
Apa tidaknya, ketika ketinggalan 9-15 di set ketiga, juara Terbuka India itu berjaya mengembalikan fokus untuk mengutip mata demi mata dan mengikat kedudukan 20-20, namun tuah lebih memihak kepada pasangan China.
Kekalahan itu turut meleburkan hasrat Sze Fei-Izzuddin untuk mengulangi pencapaian musim lalu di mana mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir sebelum terpaksa berpuas hati dengan naib juara.
Menanti Bo Yang-Liu Yi di separuh akhir esok adalah beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana yang menyingkirkan Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan dengan aksi straight set 21-16, 21-17.
Ketiadaan Sze Fei-Izzuddin sekali gus menyaksikan cabaran Malaysia kini dipikul beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan bertemu satu lagi beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang. – KOSMO! ONLINE