KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan banyak masalah untuk melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 selepas menewaskan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China sebentar tadi, bekas juara dunia itu hanya memerlukan masa 30 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-11.
Berdepan Fajar-Rian yang turun sebagai pilihan ketiga langsung tidak membuatkan beregu No.6 dunia itu gerun, sebaliknya mereka berjaya menampilkan aksi cukup konsisten bagi mendominasi permainan.
Lebih manis, ia merupakan kemenangan keenam Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan tersebut dalam 10 pertemuan dengan aksi terakhir pada saingan Jelajah Dunia Akhir Disember lalu turut memihak kepada mereka.
Kemenangan tersebut sedikit sebanyak mampu menjadi pembakar semangat buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu selepas tersingkir di pusingan pertama dua kali berturut-turut pada Orleans Masters dan All England bulan lalu.
Menanti Aaron-Wooi Yik di separuh akhir esok adalah wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menewaskan satu lagi beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-19, 21-19. – KOSMO! ONLINE