fbpx

Aston Villa belum kibar bendera putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENJAGA gol Villa, Emiliano Martinez gagal memastikan gawang mereka dibolosi apabila tewas 1-3 kepada PSG awal pagi semalam. - AFP

PARIS – Pengurus Aston Villa, Unai Emery masih menaruh harapan pasukannya mampu bangkit selepas tewas 1-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parc des Princes awal pagi semalam.

Pada pertemuan itu, Villa terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi gol Morgan Rogers, namun PSG bangkit dengan tiga gol hasil jaringan Desire Doue, Khvicha Kvaratskhelia dan Nuno Mendes.

Walaupun membawa pulang defisit dua gol, namun Emery tetap positif dengan peluang Villa apabila melayan kunjungan PSG pada aksi timbal balik di Villa Park yang akan berlangsung minggu depan.

“Hasrat kami tidak berubah sama ada kedudukan 1-2 ataupun 1-3 kerana sasaran kami adalah untuk menang pada perlawanan di Villa Park nanti. Hari ini (semalam) kami menikmati sepenuhnya permainan.

“Saya bangga dengan aksi ditampilkan semua pemain kerana kami berjaya memberikan saingan kepada mereka dan hampir mencatat keputusan yang dimahukan. Walaupun mereka ada kelebihan dua gol, namun kemahuan kami tetap sama,” katanya.

Sebelum perlawanan awal pagi semalam, Villa mengharungi aksi cukup cemerlang apabila mencatat tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan dan Emery berharap mereka dapat mengulangi prestasi tersebut.

“Untuk aksi timbal balik nanti, kami akan bermain di Villa Park dan saya harap kami lebih kuat. Sudah tentu PSG masih lagi pasukan pilihan jika dilihat pada permainan dan kualiti individu mereka,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI