PETALING JAYA – Kebahagiaan berganda dirasai pelakon Datin Atikah Suhaime apabila bukan sahaja menerima kehadiran cahaya mata sulung, malah turut dihargai ibu mentua tercinta.
Menerusi perkongsian video dalam TikTok, Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd. Suhaime,34, kelihatan sedang mendukung bayinya sebelum didatangi ibu mentua yang tiba-tiba menyarungkan seutas rantai emas ke lehernya.
Lebih menyentuh hati, ibu mentua pelakon filem TanTiaNa itu turut menghadiahkan seutas gelang emas buat cucunya, Lyla Mulan Teh yang baru sahaja genap sebulan dilahirkan.
“Wah saya pun dapat hadiah ‘full moon’, terima kasih ibu mentuaku,” katanya.
Video berkenaan meraih pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen yang rata-ratanya kagum melihat kemesraan antara Atikah dan ibu mentuanya.
“Beruntung Atikah dapat mentua yang baik hati dan berhati emas, mak mentua saya mati hidup balik pun belum tentu baik macam tu,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Seronok tengok mentua hargai menantu. Moga kekal harmoni dan bahagia,” komen seorang lagi.
“Lyla Mulan lahir dalam keluarga penuh kasih sayang. Rezeki dia,” ujar seorang netizen.
Pada 8 Mac lalu, Atikah mengumumkan selamat melahirkan anak perempuan sulung hasil perkahwinannya dengan usahawan, Datuk Lokman Teh.
Pasangan tersebut bernikah pada 21 Januari tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan sahabat terdekat. –KOSMO! ONLINE