KUANTAN – Akademi Rel Pahang (ARP) yang ditubuhkan di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) perlu meletakkan penanda aras tertinggi di peringkat dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah penting itu agar pelajar yang dihasilkan oleh akademi berkenaan bukan sahaja mendapat permintaan dalam negara tetapi juga di luar negara.
“Piawaian telah ada dipanggil sebagai standard antarabangsa untuk pengurusan rel dan kita hanya perlu mengikut piawaian yang telah ditentukan itu.
“Ini agar guna tenaga yang dikeluarkan dari ARP bukan hanya boleh digunakan untuk permintaan domestik tetapi mungkin kita boleh eksport tenaga berkemahiran ini ke luar negara,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Akademi Rel Pahang di Dewan Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.
Sempena majlis pelancaran itu seramau 10 orang pelajar ARP dihantar menjalani kursus selama setahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC) di China bermula bulan hadapan.
Menurut Ahmad Zahid industri rel ini amat berpotensi dan menjanjikan pekerjaan dengan pendapatan yang baik, serta ia tidak harus bergantung kepada tenaga kerja luar.
“Sebenarnya dalam bidang industri rel ini kita tidak seharusnya bergantung kepada tenaga luar sebab sejarah kewujudan kereta api ini daripada tahun 1880 telah wujud dan sepatutnya akademi rel telah lama diwujudkan.
“Walaupun kursus dalaman Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah diadakan untuk pegawai dan tenaga kerja baharu tetapi secara formalnya Akademi Rel Pahang ini adalah pemangkin dan peneraju kepada pendidikan formal dalam bidang rel ini,”katanya.
Sementara itu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ARP merupakan antara projek awal yang dijalankan melalui kerjasama bersama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sekaligus memperlihatkan komitmen kerajaan negeri Pahang dalam menyokong agenda nasional menjadikan Malaysia sebagai hab logistik serantau.
Katanya, ARP berperanan membentuk masa depan industri rel melalui program latihan yang memenuhi kehendak industri, merangkumi kemahiran praktikal, teori, sahsiah dan kepimpinan.
“Disokong oleh rakan strategik seperti Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Malaysia Rail Development Corporation (MRDC), ARP komited memperkukuh kerjasama, kurikulum serta peluang kerjaya dalam dan luar negara sekaligus menjadi pemacu perubahan industri rel negara,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE