PETALING JAYA – Berbiras dengan Neelofa, penyanyi Aisyah Aziz selamat bernikah dengan jejaka pilihannya, Dr. Mohd. Fakhrudin Amir Mohd Ismail di Singapura, hari ini.
Lelaki yang berjaya menambat hati Aisyah atau nama lengkapnya Nur Aishah Aziz, 31, merupakan abang kepada pendakwah selebriti Muhammad Haris Mohd. Ismail atau lebih dikenali PU Riz.
Berita menggembirakan tersebut dimaklumkan media di Singapura iaitu Mediacorp Warna 942 menerusi satu hantaran Facebook.
“Alhamdulillah, kini mereka bergelar suami dan isteri.
“Kami mengucapkan selamat pengantin baru kepada Aisyah dan suami.
“Semoga dapat membina keluarga yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah, insya-Allah,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Pasangan itu dilaporkan melangsungkan pernikahan di The Cove, Geylang Road di Singapura dengan disaksikan oleh keluarga dan kenalan rapat
Sebelum ini, adik kepada penyanyi Aliff Aziz itu memaklumkan akan mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hatinya yang dijangka berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Dia juga memaklumkan calon suaminya bukan dalam kalangan penggiat seni. – KOSMO! ONLINE