KUANTAN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar cuba meraih simpati apabila mendakwa dirinya dilabel di bawah Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) oleh pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah pun menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk berbuat demikian terhadap Ahmad Samsuri.
“Menteri Dalam Negeri mengatakan tidak ada, jadi kenapa perkara ini perlu.
“Mungkin dia memohon simpati sebab PRK Ayer Kuning (Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning),” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Akademi Rel Pahang (ARP) di Dewan Yayasan Pahang di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Samsuri dilaporkan mendakwa dirinya dilabel di bawah TCO oleh pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu.
Menteri Besar Terengganu itu turut mendakwa telefonnya dipintas dan pergerakannya sentiasa dipantau walaupun atas urusan peribadi.
Katanya, TCO yang merujuk kepada Travel Control Office/Order dalam sistem keselamatan adalah satu bentuk penilaian terhadap mana-mana individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu meskipun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
Beliau mendakwa dirinya dilabel TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus. – KOSMO! ONLINE