fbpx

Afdlin Shauki tawar diri sebagai Ketua Cabang PKR Setiawangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mahu berbakti kepada masyarakat, pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki mengambil langkah berani menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa dalam pemilihan parti yang akan datang.

Mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja kebajikan menerusi Yayasan Afdlin Shauki (YAS), Afdlin atau nama lengkapnya Afdlin Shauki Aksan, 54, berharap sokongan ramai agar dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Saya datang bukan untuk berjanji, tetapi untuk terus berbakti. Sudah lama saya bersama masyarakat tanpa gelaran dan pangkat, kini saya hanya memohon mandat agar dapat meluaskan lagi khidmat saya dengan lebih tersusun dan sistematik.

“Bagi saya, jawatan ini bukan satu platform untuk kepentingan diri atau agenda politik semata-mata, sebaliknya lanjutan kepada perjuangan sosial yang telah lama dilalui selama ini.

“Saya percaya bahawa kekuatan sesebuah parti politik terletak pada kemantapan cabang. Jika diuruskan dengan baik, ikhlas dan penuh semangat kebersamaan, maka akan menjadi benteng paling kukuh dalam menjayakan agenda reformasi parti,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Dalam masa sama, pelakon filem Papadom itu turut menyatakan matlamat yang jelas dan menyeluruh dalam perjalanannya serta memperkenalkan motto untuk menggambarkan jiwa kepimpinannya.

Motto

“Saya memperkenalkan motto Mesra Setiawangsa sebagai satu prinsip yang menjiwai seluruh gerak kerja dan berhasrat menjadikan Setiawangsa sebagai contoh kawasan yang mesra rakyat, mesra komuniti dan mesra perpaduan tanpa sempadan kaum, agama mahupun latar belakang sosial.

“Saya mahu mengangkat semula peranan cabang sebagai pusat perjuangan sebenar parti bukan sekadar sebagai struktur organisasi, tetapi sebagai tempat masyarakat mendapatkan pembelaan dan inspirasi.

“Malah, saya juga melihat bahawa kepimpinan cabang harus dikembalikan kepada individu yang benar-benar mempunyai masa, tenaga dan komitmen untuk turun padang, mendengar keluhan ahli dan rakyat, serta melaksanakan solusi secara berterusan dan berkesan,” ujarnya lagi.

Berkongsi lanjut, Afdlin menyeru ahli parti PKR di Setiawangsa untuk hadir mengundi calon yang sesuai bagi mewakili kawasan tersebut.

“Saya tidak hadir untuk bersaing, jauh sekali untuk menjatuhkan sesiapa sebaliknya, hadir dengan penuh rasa tanggungjawab. Semua ahli PKR di Setiawangsa turun mengundi dan memilih dengan hati.

“Pilihlah kepimpinan yang bukan sahaja memahami tetapi merasai perit getir perjuangan di bawah.

“Pilihlah suara yang sentiasa mendengar, tangan yang sering membantu dan hati yang sentiasa ada untuk rakyat,” jelasnya.

Sebelum ini, Afdlin aktif sebagai seorang aktivis kemasyarakatan menerusi YAS dengan menjalankan beberapa program kemanusiaan seperti misi ke Syria sehingga kepada pengagihan bantuan makanan dan keperluan asas kepada keluarga berpendapatan rendah di kawasan-kawasan perumahan awam tempatan. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI