SHAH ALAM – Seramai 985 mangsa daripada 285 keluarga berdaftar di enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar bandar raya ini dan Klang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, jumlah itu direkodkan setakat pukul 6 petang tadi.
Katanya, seramai 52 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sg. Binjai, Klang. Dewan Bakawali Seksyen 35 pula menempatkan 13 keluarga, manakala Dewan Kenanga Seksyen 28 sebanyak 146 keluarga,” katanya hari ini.
Di SK Shah Alam Seksyen 16, seramai 57 keluarga berlindung di fasiliti itu, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 melibatkan 27 keluarga. Bagaimanapun data masih belum diperoleh bagi mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Azalea, Seksyen 25.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd. Azhar Mohd. Sharif memberitahu, bah di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini masih belum surut sepenuhnya hasil pemantauan Skuad Pantas MBSA setakat pukul 5 petang tadi.
Pemantauan turut mendapati sebanyak 26 kawasan dikenal pasti dinaiki air di seluruh kawasan pentadbiran MBSA.
“Bagi kawasan lain termasuk di Seksyen 16 Padang Jawa air surut sepenuhnya. Seramai 122 anggota Skuad Pantas dan penguat kuasa MBSA terlibat dalam operasi membantu mangsa banjir hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE