BERA – Seramai 31 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kemayan di sini selepas rumah mereka di Kampung Limau dan Taman Maju Jaya di sini dinaiki air pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.15 pagi daripada orang awam memaklumkan air telah memasuki beberapa buah rumah berikutan hujan lebat sejak malam semalam.
“Sebanyak 10 buah rumah telah dinaiki air di Kampung Limau dengan anggaran ketinggian satu meter dan tidak selamat untuk diduduki.
“Sebahagian mangsa telah berpindah ke PPS dan ada juga yang berpindah ke rumah saudara mara terdekat di sekitar Kemayan,”katanya di sini hari ini.
Katanya, banjir kilat juga menjejaskan kawasan Taman Maju Jaya selepas empat buah rumah dinaiki air setinggi 0.3 meter, dan penduduk dinasihatkan untuk berjaga-jaga.
“Pihak polis masih memantau di kedua-dua lokasi kejadian dan penduduk dinasihatkan untuk berjaga-jaga dengan situasi semasa,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE