MENJADI anak seni selama 30 tahun sehingga berjaya meraih gelaran Biduanita Negara bukanlah sesuatu yang mudah buat Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Meraikan tiga dekad pada 1 April lalu, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu bersyukur dengan perjalanan penuh liku, namun membanggakan sepanjang tiga dekad yang dilaluinya.
Katanya, tempoh tersebut adalah fasa luar biasa buat kerjaya seninya sebagai seorang penyanyi meski pernah dihambat dengan pelbagai kontroversi dan cerita sensasi yang memberi banyak pengajaran untuk kehidupannya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana 30 tahun ini adalah satu perjalanan hebat yang telah memberi pengalaman menakjubkan termasuk sebagai penyanyi atau melibatkan kehidupan peribadi.
“Saya tidak pernah mengeluh atau menyesal dengan segala ujian dan dugaan yang dilalui, sebab semua itu yang menjadikan saya sebagai Siti Nurhaliza hari ini,” katanya kepada HibGlam pada majlis sambutan Siti Nurhaliza 30th Anniversary baru-baru ini.
Ujar pelantun lagu Anta Permana itu, tiga dekad bergelar anak seni juga menjadikannya individu lebih baik terutama dalam memperjuangkan karya seni tempatan.
“Kalau nak cakap apa yang capai, 30 tahun ini lebih kepada banyak perjuangan dan kesabaran yang tinggi.
“Di sinilah saya dapat melihat sendiri macam mana kuatnya kasih sayang peminat terhadap saya, sekali gus membuktikan saya masih diterima saat ini,” ujarnya.
Ditanya kenangan paling manis yang dilalui sepanjang tiga dekad ini, Siti berkata, salah satunya adalah menyertai pertandingan Bintang HMI pada 1995 sehingga dinobatkan sebagai juara.
Baginya, itu adalah detik paling istimewa dan permulaan kepada kerjaya seninya.
“Saya rasa kenangan terindah adalah seawal menjejakkan kaki dalam dunia seni terutama ketika menyertai pertandingan nyanyian Bintang HMI. Itulah permulaan saya dilihat oleh seluruh Malaysia.
“Bagi saya, kalau tiada permulaan atau langkah pertama tersebut, saya tidak akan menjadi individu seperti hari ini.
“Selain itu, kejayaan lain adalah ketika dapat membawa nama Malaysia ke luar negara.
“Apabila bergelar penyanyi, saya tidak hanya lakukan untuk diri saya saja, tapi untuk peminat serta mahu mengangkat nama negara di mata dunia,” katanya lagi.
Berkongsi perancangan kerjaya mendatang, Siti bakal mengadakan dua buah konsert istimewa pada tahun ini dan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi.
“Selain konsert, saya juga bakal merakamkan sebuah album tradisional hadiah untuk para peminat.
“Sekarang ini sedang dalam proses mendapatkan lagu dan membuka ruang kepada mana-mana komposer untuk menghantar lagu tradisional terbaik,” katanya lagi.
Berkongsi tentang majlis sambutan Siti Nurhaliza 30th Anniversary yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur, dia terharu dengan kehadiran para peminat meskipun diadakan pada minggu pertama Syawal.
“Saya tidak rancang pun acara ini tetapi Alhamdulillah pihak Pavilion dan Cuckoo beri peluang untuk saya meraikan bersama para peminat.
“Acara sebegini lebih kepada menghargai sokongan ramai pihak khususnya peminat setia yang sudah berada bersama saya sepanjang bergelar anak seni,” ujarnya.
Kad raya
Sempat bercerita momen manis menyambut Syawal sebagai seorang anak seni, dia berkata pernah dihubungi syarikat kurier untuk mengambil sendiri kad raya diterimanya kerana jumlah yang terlalu banyak.
Katanya, dia menerima berguni-guni kad ucapan Hari Raya Aidilfitri daripada para peminat sebelum wujudnya media sosial seperti hari ini.
“Memang gigih membalas satu persatu dan walaupun bulan Syawal sudah berakhir, kami masih hantar kad raya.
“Kemudian pada tahun berikutnya semakin banyak sampai pejabat pos telefon minta saya ambil sendiri dengan kereta atau van, sebab ada berguni-guni kad raya daripada peminat,” ujarnya menutup perbualan.