KAJANG – Seramai 288 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pusat Hentian Kajang, di sini semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, operasi bermula pukul 7.30 malam itu membabitkan enam blok yang mempunyai 90 premis.
Jafri berkata, seramai 1,035 individu diperiksa membabitkan 785 warga asing dan 250 warga tempatan.
“Kesemua warga asing ditahan terdiri daripada 98 lelaki Bangladesh, Indonesia (19), Myanmar (49), Pakistan (enam), Nepal (41), India (22), Sri Lanka (11), Sudan (dua), manakala wanita Bangladesh seorang, Indonesia (30), Myanmar (10), dan Nepal (5).
“Tangkapan ini menjadikan jumlah masing-masing seramai 242 orang lelaki dan 46 wanita berusia di antara 18 tahun sehingga 60 tahun,” ujarnya.
Jafri berkata, serbuan di kawasan itu adalah bukan kali pertama dan operasi penguatkuasaan secara berterusan akan dijalankan dari semasa ke semasa.
Kata Jafri, pihaknya turut membongkar kegiatan kedai mesin judi yang diuruskan seorang wanita warga asing.
Tambahnya, serbuan berkenaan disertai 185 orang pegawai Imigresen termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM). – KOSMO! ONLINE