TAPAH – Seramai 1,114 pegawai polis akan memantau keselamatan dan keamanan sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang bermula esok sehingga pasca proses pengundian pada 26 April ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, polis telah membahagikan proses PRK tersebut kepada tiga fasa iaitu pra pilihan raya (penamaan calon, tempoh berkempen), pilihan raya (hari pengundian) dan pasca pilihan raya (selepas pengundian).
“Seramai 1,114 orang pegawai kanan polis (PKP), pegawai rendah polis (PRP) dan pegawai awam (PA) akan terlibat sepanjang PRK ini berlangsung.
“Polis akan menguatkuasakan undang-undang seperti Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 786), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Prosuder Jenayah (KPJ) – Berkenaan Penyuraian,” katanya pada Sidang Media Ketua Polis Perak Berkaitan Persediaan PDRM Perak Sempena Menghadapi Pilihan Raya Kecil N48 Ayer Kuning di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.
Noor Hisam menasihatkan semua pihak mengikut peraturan dan mematuhi undang-undang sedia ada selain berkempen secara berhemah dan profesional. – KOSMO! ONLINE