PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut, nama bekas model Zahnita Wilson kembali menjadi bualan ramai apabila bekas rakan kongsi bisnesnya dikenali sebagai Neysahz mendakwa semua perkara yang didedahkan aktres itu kepada umum sebelum ini adalah tidak benar.
Tidak berniat untuk campur tangan, dia bagaimanapun terpanggil bersuara kerana mendakwa pelbagai perkara yang berlaku seperti tidak masuk akal sebelum berhenti menjadi rakan kongsi Zahnita beberapa bulan lalu.
Sejujurnya saya tak berminat lansung masuk campur masalah rumah tangga orang tetapi untuk kes Zahnita, saya terpaksa bersuara sebab antara yang terawal membantu dari segi kewangan bantu dia keluar dari rumah suaminya.
“Dia sudah rancang lama sebelum viral lagi, dulu memang saya naif sebab percaya tetapi selepas bekerjasama sejak Ogos 2024 sehingga Februari lalu, banyak perihal diri dia yang diputar belit sampai berputar otak saya dan kawan-kawan lain.
“Saya rasa benda serba tak kena dan mungkin tidak berkat. Allah SWT tunjuk jalan keluar ketika bisnes sedang di atas. Saya tak menyesal,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Dakwanya lagi, semua perkongsian Zahnita mengenai masalah yang dilalui sebelum ini adalah palsu semata-mata.
Dia juga berasa simpati dengan nasib empat anak Zahnita yang terkesan dengan kemelut tersebut dan tidak mendapat pembelaan daripada ibu mereka sendiri.
Kisah dongeng yang disajikan kepada satu dunia, adalah tidak benar. Saya turut bersimpati ke atas anak-anak, suami dan ibu mentua atas segala kehancuran yang telah berlaku.
“Tak pernah sekali, dia sebagai ibu mempertahankan anak sulungnya ketika ditohmah satu dunia kerana mempertahankan ayahnya walaupun saya sudah pernah ingatkan supaya muat naik sebarang video pertahankan anaknya.
“Banyak lagi saya nak dedahkan. Dia telah hancurkan masa depan anak-anaknya termasuk anak bongsunya. Namun, saya yakin, dia juga berusaha beri terbaik untuk mereka,” ujarnya.
Berani bersuara, Neysahz berkata dia bersedia untuk dikenakan tindakan undang-undang demi masa depan empat anak Zahnita.
“Suami awak sudah kerugian berpuluh ribu, anak-anak menanggung malu dan kesihatan mental juga terkesan.
”Kalau suami awak masuk penjara sebab cerita yang kononnya kena kena dera, awak fikir akan mampu bayar segala-galanya untuk anak-anak? Bisnes awak pun sudah jatuh disebabkan ego sendiri.
Saya bersedia untuk disaman demi tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki istimewa. Harap awak sedar sebelum terlambat.
“Maaf semua, saya simpan ini terlalu lama. Kepada Encik Abd Zackery Ghouse, kalau anda baca ini, tolong cari saya,” jelasnya.
Terdahulu, Zahnita pada 2 Disember tahun lalu berkongsi foto dalam Instagram memaparkan bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam.
Dakwa aktres berkenaan, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah oleh suami sendiri selain mengatakan Zackery mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Susulan itu, pada 4 Disember 2024, Zachery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.
Bagaimanapun Zachery mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Tidak tahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Zahnita kemudiannya nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember tahun lalu.
Kemudian pada Mac lalu, Zackery memaklumkan pihak mahkamah menggugurkan tuduhan dirinya daripada dakwaan mendera empat orang anaknya selain mendapat hak lawatan dan bermalam.
Zackery mendirikan rumah tangga dengan Zahnita pada 2005. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun. – KOSMO! ONLINE