SHAH ALAM – Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah) melancarkan penjenamaan semulanya yang akan menjadi titik sejarah transformasi syarikat amanah patuh syariah itu sejak 21 tahun lalu.
Penjenamaan syarikat yang bertapak pada tahun 2004 itu meliputi pengenalan logo baharu dalam memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju segmen perancangan harta pusaka di negara ini.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, langkah itu dibuat selaras penstrukturan korporat yang selesai dijalankan Wasiyyah Holdings Berhad dan juga ia bertepatan dengan sasaran pihaknya untuk menembusi pasaran luar negara termasuk Oman.
“Logo baharu syarikat ini selari dengan objektif Wasiyyah untuk memelihara institusi keluarga daripada perbalahan harta pusaka dan memastikan pengurusan lebih cepat dan tepat.
“Strategi penjenamaan ini juga adalah antara perancangan jangka panjang kami untuk meneroka pasaran antarabangsa terutama negara-negara Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran wajah baharu Wasiyyah yang disempurnakan oleh Pengerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Wasiyyah, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman.
Menurut Ariffin, syarikat dengan nilai aset dalam pewarisan melebihi RM45 bilion itu mempunyai kepakaran dalam penyediaan dan pelaksanaan instrumen perancangan harta Islam.
“Sepanjang beroperasi sejak 2024, kami berpengalaman menyelesaikan kes pusaka lebih RM1 bilion dengan 100,000 pelanggan telah menggunakan perkhidmatan syarikat.
“Trek rekod perkhidmatan kami terbukti dan tiba masanya kami menampilkan imej lebih progresif selaras dengan reputasi syarikat,” ujarnya.
Selain itu, tambah beliau, syarikat juga menerima permintaan daripada institusi kewangan antarabangsa bagi memasarkan produk hibah selepas pelancaran aplikasi Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) pada tahun 2023.
“Kami akan mengorak langkah bekerjasama dengan pemain industri itu sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hub perancangan harta secara syariah utama dunia.
“Oman bakal menjadi negara luar pertama bagi kerjasama itu yang bakal direalisasikan pada hujung tahun ini atau awal 2026,” katanya. -KOSMO! ONLINE