DUNGUN – Keceriaan pelajar sebuah universiti awam di daerah ini untuk menyambung pelajaran semester 2 selepas cuti Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu lalu terencat apabila kolej kediaman mereka didakwa berada dalam keadaan tidak terurus dan kotor.
Bangunan premis kolej kediaman tersebut didakwa bukan sahaja usang, malah banyak kemudahan seperti bilik mandi, tandas serta kipas angin terbiar rosak serta berkulat bagai tidak pernah dicuci.
Senario itu turut menimbulkan rungutan ramai ibu bapa dan ahli keluarga pelajar terbabit yang menghantar mereka pulang ke kampus pada hujung minggu lalu.

Keadaan sinki sebuah bilik di kolej kediaman sebuah universiti awam di Dungun semalam.
Salah seorang waris yang mahu dikenali sebagai Man mendakwa, dia terkejut melihat keadaan kolej kediaman pelajar tersebut yang amat tidak memuaskan seolah-olah bangunan usang yang lama ditinggalkan.
“Macam ini ke kolej kediaman sebuah universiti? Persekitaran termasuk tandas sangat kotor.
“Macam mana pelajar hendak tinggal dan belajar dengan baik?” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Mira pula terkejut menjumpai sarang kelawar dan bangkai kucing di kolej kediaman pelajar terbabit sewaktu menghantar anak perempuannya baru-baru ini.
“Skru kipas siling bilik anak saya tiba-tiba tercabut dan terjatuh hampir mengenai kepala anak saya.
“Hairan kenapa kolej kediaman pelajar ini sangat daif sedangkan universiti ini bukan calang-calang dan mempunyai sejarah dan ramai alumni hebat,” dakwanya.

Sementara itu, seorang pelajar yang dikenali Zamil mengakui keadaan kolej kediaman tersebut memang sedia usang, malah semakin uzur apabila memasuki semester 2 ini.
“Boleh dikatakan semua pintu tandas rosak dan tersumbat tanpa segera diselenggara.
“Bekalan air selalu terganggu dan sampah sering menimbun sebab lambat dikutip pekerja pembersihan,” dakwanya.

Dia juga mendakwa pembelajaran mereka juga terganggu kerana liputan internet agak perlahan.
“Kami tidak minta banyak, harap kemudahan kolej kediaman dipulihkan semula seperti sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan pengurusan tertinggi universiti awam tersebut akan memberi kenyataan dalam masa terdekat.
@mankumpawtiktok #fyp #uitm #uitmdihatiku #uitmdungun ♬ Instrument Biola Menyentuh Hati – 𝑺𝑵 𝒒𝒐𝒖𝒕𝒆𝒔🎟️