JOHOR BAHRU – Dua lelaki bergaduh di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini awal pagi tadi gara-gara memotong barisan ketika memotong barisan ketika menunggu bas ke Singapura.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 7 pagi itu tular di media sosial.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis dari lelaki tempatan berumur 21 tahun yang merupakan salah seorang individu terlibat dalam kejadian itu.
“Menurut siasatan awal, pergaduhan dipercayai berpunca daripada tindakan salah seorang individu memotong barisan, sekali gus mencetuskan ketegangan hingga membawa kepada insiden fizikal.
“Seorang lagi suspek masih belum buat laporan dan belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial dua lelaki bergaduh di antara kedudukan dua buah bas, dalam insiden itu kedua-dua lelaki saling bertolak dan memukul antara satu sama lain dan bertengkar mulut.
Suasana tegang itu ditenangkan beberapa individu dilokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE