DUNGUN – Penduduk mukim Paka di sini sekali lagi dikejutkan dengan kemunculan semula seekor buaya yang berenang berhampiran kawasan benteng pemecah ombak berhampiran Kuala Paka, di sini sejak beberapa hari lalu.
Persisiran perairan sama pernah digemparkan dengan kemunculan buaya pada bulan Mei tahun lalu.
Salah seorang penduduk, Azizi Sulaiman, 45, berkata, kemunculan semua buaya di Kuala Paka selepas muncul kali pertama kira-kira 11 bulan lalu amat menggemparkan mereka.
“Kami tidak pasti kali ini buaya lain atau sama yang muncul pada bulan Mei tahun lalu.
“Ia amat merisaukan kerana Kuala Paka ini bukan sahaja menjadi tumpuan nelayan malah pengunjung lain termasuk pemancing,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu klip video berdurasi 0.30 saat memaparkan kelibat Sang Bedal terbabit berenang di Kuala Paka tular di media sosial.- KOSMO! ONLINE