MUNICH – Meskipun dikecewakan di laman sendiri, jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany optimis anak buahnya masih berpeluang untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) apabila berdepan Inter Milan dalam aksi timbal balik minggu depan.
Dalam aksi suku akhir pertama di Allianz Arena awal pagi semalam, Bayern tunduk 1-2 hasil jaringan lewat Davide Frattesi iaitu gol yang menamatkan rekod kebal Bayern di tempat sendiri dalam saingan UCL sejak April 2021.
“Kami bermain sangat dominan dalam separuh masa pertama. Kami cipta beberapa peluang jelas, tapi gagal ambil kesempatan.
“Kami kecewa bolos di saat akhir, tapi kami tidak goyah. Masih ada satu perlawanan di Milan dan kami percaya sepenuhnya kami boleh bangkit di sana,” tegas Kompany.
Ketiadaan tonggak utama seperti Jamal Musiala, Manuel Neuer, Alphonso Davies dan Dayot Upamecano jelas terasa, namun Kompany enggan menjadikan senarai kecederaan sebagai alasan kegagalan.
Penyerang prolifik Bayern, Harry Kane turut berkongsi nada optimis apabila diminta mengulas peluang pasukannya untuk membalikkan keputusan di San Siro.
“Kami ada 90 minit lagi. Masih banyak boleh berlaku dalam bola sepak. Inter mungkin nampak yakin sekarang, tapi kami ada pemain yang boleh ubah segala-galanya,” kata Kane. – AFP