WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan pelaksanaan tarif kepada kebanyakan negara bagi tempoh 90 hari, lapor portal berita Daily Star semalam.
Pasaran saham global melonjak berikutan pengumuman terbaharu itu.
Namun, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, Trump akan tetap mengekalkan 10 peratus tarif asas di kebanyakan negara sambil meningkatkan tindakan terhadap China.
“Saya membenarkan penangguhan 90 hari tarif timbal balik,” kata Trump di platform Truth Social miliknya.
Bessent dan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick berkata, mereka ada bersama Trump ketika beliau menulis arahan penangguhan itu
“Dunia sedia untuk bekerjasama dengan Presiden Trump bagi membetulkan perdagangan global tetapi China memilih haluan bertentangan,” kata Lutnick di platform X.
Bessent pula berkata bahawa pasaran global tidak memahami strategi tarif Trump.
“Pasaran tidak faham, itu adalah tahap maksimum.
“Negara-negara (asing) boleh memikirkan tentangnya apabila mereka datang kepada kami untuk perbincangan bagi menurunkan tarif,” katanya kepada pemberita di White House. – AGENSI