LONDON – Tonggak pertahanan Chelsea, Benoit Badiashile mengakui, dia dan rakan sepasukannya terdesak untuk memenangi trofi menjelang aksi suku akhir pertama Liga Konferens Europa awal pagi esok.
The Blues akan terbang ke Poland menentang Legia Warszawa di Stadium Polish Army sebelum aksi timbal balik di Stamford Bridge pada minggu depan.
“Chelsea adalah salah satu pasukan terbaik di dunia, jadi ramai orang menjangkakan anda akan memenanginya (Liga Konferens Europa).
“Namun, kami tiada masalah dengan jangkaan itu kerana kami sememangnya mahu memenanginya. Kami akan lakukan apa yang perlu untuk memastikan ia tercapai.
“Kami menang semua perlawanan setakat ini dan harapannya kami dapat berikan aksi yang lebih baik lagi,” kata Badiashile.
Trofi kejohanan berprestij ketiga Eropah itu mampu menjadi sesuatu yang istimewa buat Chelsea yang kini berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).
Memandangkan kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sesama sendiri sebelum ini, namun kelebihan dilihat lebih memihak kepada skuad bimbingan Enzo Maresca berdasarkan kualiti pemain-pemain Chelsea.
“Saya tidak pernah memenangi trofi dalam karier. Saya akan berikan segala-galanya buat pasukan bagi memastikan kami mencapai objektif musim ini,” tambah Badiashile. – AGENSI