KOTA BHARU – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dengan kes buli akan berdepan dua jenis hukuman iaitu di peringkat undang-undang negara dan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan anggota ATM yang melanggar batas-batas sehingga berlaku kes buli.
“Meskipun ATM tegas dalam sesi latihan kerana ada modul yang perlu diikuti namun, Mindef tidak akan membenarkan kejadian buli dilakukan. Kita dapat bezakan antara buli dan latihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adly memberitahu, walaupun kes buli agak terpencil di peringkat ATM, pelbagai tindakan yang telah diambil oleh pihak kementerian ke atas pelaku yang terlibat.
Katanya, Mindef mempunyai jawatankuasa di peringkat dalaman yang akan membuat keputusan melibatkan kes buli.
“Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan kes buli. Sebagai contoh, kes-kes yang berlaku di peringkat institusi pendidikan di bawah Mindef iaitu Maktab Tentera Diraja.
“Kita telah menambah jumlah warden di Maktab Tentera Diraja selain membuat pengasingan antara belajar baharu dan lama. rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan pusat pengajian turut ditambah,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seramai 12 pegawai dan 29 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) telah diberhentikan kerja selepas terlibat dengan kes buli dan penderaan dalam tempoh lima tahun.
Panglima TDM, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, ia melibatkan kesalahan yang dilakukan oleh anggota dan pelbagai pangkat termasuk Mejar bermula 2019.
“Perbuatan buli merupakan satu pengkhianatan besar kepada pasukan tentera. Ini kerana, kita menganggap setiap anggota adalah saudara, dan adik-beradik,” katanya. – KOSMO! ONLINE