fbpx

‘Serik, trauma nak buat konsert sebab cek tendang pihak penaja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraniza trauma berdepan pengalaman ditipu pihak tertentu yang kononnya sedia menjadi penaja konsert.

SUBANG JAYA – Pernah diberi cek tendang, penyanyi Noraniza Idris mengakui trauma berdepan pengalaman ditipu pihak tertentu yang kononnya sedia menjadi penaja konsert.

Katanya, tindakan segelintir syarikat yang hanya pandai menabur janji membuatkannya lebih berjaga-jaga sebelum menyatakan persetujuan bekerjasama menjayakan persembahan mega.

“Saya bukan sahaja serik, malah jadi trauma nak buat konsert besar yang bertiket sebab pernah dapat cek tendang daripada pihak penaja.

“Wakil syarikat itu pada awalnya bersungguh-sungguh mahu berkolaborasi, sekali gus memberikan cek dahulu, tetapi malangnya itu cek tendang, manakala pihak berkenaan terus menyepi.

“Biarpun insiden itu sudah bertahun-tahun berlaku, saya masih ingat dan jadi takut nak buat konsert. Takut kena scam,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Eh Raya 2025, semalam.

Menyentuh tentang Konsert Eh Raya 2025, pejuang genre irama etnik kreatif itu, berkata acara yang bakal diadakan di pusat beli-belah Summit USJ pada 26 April ini merupakan persembahan secara percuma.

Katanya, dia teruja meraih sokongan pelbagai pihak dalam merealisasikan Konsert Eh Raya 2025 bagi memartabatkan seleksi lagu raya yang menjadi siulan ramai.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, namun membawa penonton menyusuri pengalaman rumah terbuka Hari Raya dalam bentuk sketsa, tarian dan nyanyian.

“Idea mahu berkongsi konsert tanpa tiket berbayar ini muncul selepas saya pindahkan operasi Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) di Shah Alam dari Kuala Lumpur sejak Januari lalu dan menariknya banyak pihak tampil untuk sama-sama menjayakannya.

“Kami akan sajikan persembahan lagu raya penuh nostalgia seperti Rewang Raya dan Halal Bihalal diiringi lebih 60 penari NIDA TARI selain memasyarakatkan semula seni tradisional,” ujarnya.

Menurutnya lagi, selain konsert yang bermula pada sebelah malam, pusat beli belah Summit USJ yang menjadi lokasi acara bakal dimeriahkan pelbagai aktiviti kebudayaan sepanjang siang.

“Pusat beli-belah Summit USJ dipilih sebagai lokasi strategik kerana antara pusat tumpuan komuniti yang meriah dengan pengunjung sepanjang musim perayaan,” katanya yang menjangkakan Konsert Eh Raya 2025 bakal dimeriahkan 5,000 pengunjung.

Kali terakhir Noraniza mengadakan konsert adalah menerusi Konsert Qalam pada September tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI