BANGKOK – Suspek rompakan bersenjata sebuah kedai emas di daerah Hat Yai, wilayah Songkhla diberkas di Terminal Bas Selatan, Bangkok semalam, kata seorang pegawai daripada Polis Wilayah Rantau 9.
Menurut sebuah laman berita Thailand, warganegara Malaysia berumur 61 tahun, Yee Boon Long diberkas bersama 69 rantai emas, sepucuk senjata api dan peluru ketika turun daripada bas yang melakukan perjalanan dari Hati Yai , demikian menurut polis.
Suspek dihantar ke wilayah Songkhla untuk pendakwaan.
Rompakan itu berlaku pukul 11.55 pagi Selasa lepas di kedai emas Thai Udom 2, Jalan Montri 1, pusat bandar Hat Yai.
Pekerja kedai berkenaan berkata, seorang perompak bertopeng dan bersenjata api melarikan barang kemas daripada emas seberat 2.25 kilogram bernilai lebih 7 juta baht sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Susulan rompakan tersebut, mahkamah wilayah Songkhla mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek yang turut menggunakan beberapa nama lain termasuk nama Thai, Anucha Saeyeoh.
Pihak berkuasa percaya dia masih bersembunyi di Thailand. Komisioner Polis Rantau 9, Leftenan Jeneral (polis), Piyawat Chaloemsri menawarkan ganjaran 100,000 baht (RM13,118) untuk penangkapannya.
Menurutnya, suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Piyawat berkata, suspek pernah merompak sebuah kedai emas di Hat Yai dalam tahun 2017 dan dibebaskan dari penjara kira-kira setahun setengah yang lalu.
Sumber polis mendedahkan bahawa Yee juga disyaki membunuh dua adik-beradik Thai iaitu Montree Saekung dan Srirat Saekung di sebuah rumah sewa di Tambon Koh, Songkhla pada 22 Mei, 2014.
Di Malaysia, Yee dilaporkan dikehendaki kerana merompak sebuah kedai emas di Butterworth, Seberang Perai kira-kira 20 tahun lalu.
Dia didakwa melarikan emas bernilai 50 juta baht (RM6.6 juta) dalam rompakan itu sebelum melarikan diri ke Thailand.
Menurut sumber sama, Yee juga dikehendaki di Malaysia kerana bekerja sebagai pembunuh upahan dengan 10 mangsa dikaitkan dengan suspek.
Selepas melarikan ke Thailand, Yee dilaporkan membeli kad pengenalan Thai di daerah Chai Prakan, wilayah Chiang Mai pada harga 250,000 baht(RM32,800), menggunakan identiti Anucha Saeyeoh yang merupakan penduduk pribumi puak bukit. – AGENSI