PELUMBA muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan yang masih segar dengan kejayaan meraih dua kejuaraan dalam Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK) menyasarkan beraksi di pentas tertinggi, Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada masa depan.
Qabil yang berumur 13 tahun menjadikan dua pelumba legenda, Valentino Rossi dan juara dunia MotoGP 2023, Francesco Bagnaia sebagai idola untuk memburu cita-cita tersebut.
“Saya impikan untuk beraksi di MotoGP sekali gus memburu kejuaraan dunia satu hari nanti bagi mengikut jejak dua idola saya iaitu Rossi dan Pecco (Bagnaia).
“Kemenangan berganda di Litar Jerez hujung minggu lalu menyemarakkan lagi semangat saya,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus kelmarin.
Kejayaan Qabil menamatkan kedua-dua perlumbaan di kedudukan pertama itu amat menakjubkan kerana turut menewaskan juara bertahan ESBK PraMoto3 musim lalu, Ivan Rodriguez.
Kepulangan remaja itu diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Qabil berkata, jentera baharu, Honda NSF 250R yang digunakan buat kali pertama musim ini memberi kelebihan sepanjang perlumbaan di Sepanyol berkenaan.
“Alhamdulillah, ini perlumbaan pertama saya musim ini dan ia menjadi permulaan yang baik. Saya akan kembali ke litar dalam pusingan kedua ESBK berlangsung Jun depan, harap dapat mengekalkan momentum cemerlang seperti di Jerez,” katanya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, kerajaan Terengganu bercadang meningkatkan fasiliti sukan permotoran bagi melahirkan lebih ramai bakat muda tempatan.
“Kejayaan Qabil telah membuka mata banyak pihak bahawa pelumba muda memerlukan sokongan dan pendedahan awal secara berterusan bagi melonjak ke tahap tertinggi,” katanya.