SEBERANG PERAI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi membentangkan hasil inisiatif yang diperoleh susulan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia, esok.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, anjuran khas yang bakal dikemukakan itu adalah hasil perbincangan yang telah diperincikan menerusi pejabat beliau sendiri di bawah portfolio Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ekonomi.
“Situasi ekonomi global susulan kadar tarif yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap negara kita yang bermula semalam hangat diperdebatkan.
“Kedudukan Pulau Pinang yang sekali lagi menjadi penyumbang eksport utama dalam negara pada Februari lalu dengan nilai RM9.3 bilion dikhuatiri akan menerima impak yang serius susulan pelaksanaan tarif ini.
“Justeru, selari dengan usaha Kerajaan Persekutan, Kerajaan Negeri turut mengambil tindakan proaktif dan relevan dalam berhadapan dengan situasi terbabit,” katanya ketika berucap sempena Majlis Rumah Terbuka Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICC di sini, hari ini.
Semalam, Amerika Syarikat mula melaksanakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas beberapa produk eksport dari Malaysia.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada tindakan perdagangan yang diambil oleh kerajaan AS untuk melindungi industri tempatan mereka atau sebagai balasan terhadap dasar perdagangan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE