GEORGE TOWN – Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes anggota berpangkat koperal parah dipercayai tertembak kepala sendiri menggunakan pistol di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, setakat ini bekas isteri anggota polis itu telah dipanggil untuk memberi keterangan.
“Masih terlalu awal untuk kita buat kesimpulan mengenai punca kejadian. Polis masih menyiasat (kejadian),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Hamzah, setakat ini anggota tersebut telah dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU), namun masih dalam pemantauan pakar.
“Pembedahan ke atas anggota polis itu juga belum dapat dijalankan kerana masih dalam pemerhatian pakar,” katanya.
Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata api perlu diperketat susulan kejadian itu, Hamzah memaklumkan SOP sedia ada adalah mencukupi. -KOSMO! ONLINE