KAJANG – Pasangan suami isteri yang merupakan pemilik dan penjaga sebuah rumah kebajikan persendirian di Batu 9, Cheras di sini ditahan polis hari ini selepas disyaki terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, penahanan ke atas kedua-dua individu berusia 66 dan 68 tahun itu dibuat pada pukul 3.20 petang tadi.
Menurut Naazron, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang menghuni rumah kebajikan itu mendakwa telah didera dengan cara dimarahi dan ditampar di pipi kiri oleh penjaga atas alasan tidak mahu mendengar kata-kata.
“Kita juga menerima dua laporan yang dibuat oleh saksi lain yang mendakwa pasangan itu mendera emosi dan mental kanak-kanak yang menghuni rumah terbabit.
“Pasangan suami isteri itu akan direman pada esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua 18 orang kanak-kanak berusia antara tiga hingga 17 tahun yang tinggal di rumah kebajikan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor R. Ravin di talian 012-6269250 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan satu pendedahan mengejutkan mengenai keadaan sebuah rumah kebajikan di Cheras, di sini susulan video tular memaparkan keadaan penghuni yang didakwa dikurung dalam sebuah bilik berkunci seakan-akan haiwan dalam sangkar.
Rumah kebajikan itu turut didakwa mengenakan kawalan ketat tanpa justifikasi jelas, termasuk membiarkan penghuni terkurung dalam ruang yang sempit. – KOSMO! ONLINE