SUNGAI PETANI – Seorang pengurus dipenjara sehari dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menempatkan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta bateri litium di premis tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), tahun lalu.
Chan Chin Hoong, 45, selaku orang kena saman (OKS) dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Hakim Azman turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda dikenakan.
Chin Hoong didakwa membenarkan premis itu ditempatkan buangan terjadual yang dikategorikan sebagai e-waste Kod SW110 dan bateri litium Kod SW103 seperti yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Peraturan 2 Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling Buangan Terjadual 2005 tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekeliling.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kawasan Perusahaan Sungai Petani dalam daerah Kuala Muda antara pukul 9 pagi hingga 11.20 malam, 5 Julai 2024.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 34B(4) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.
Pada prosiding itu, tertuduh memohon agar hukuman diringankan kerana telah mengalami kerugian dan masih menanggung kos sewa tapak premis.
Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JAS Kedah, Muniff Mat Rus memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada pengurus tersebut selain menjadi peringatan kepada semua pemain industri kitar semula buangan supaya mematuhi keperluan Akta Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Baling, sebuah syarikat pengeluar minyak kelapa sawit mentah didenda RM30,000 atas kesalahan berkaitan pencemaran air yang didakwa dilakukan di Kuala Ketil, Baling pada 21 Ogos tahun lalu.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hukuman itu dijatuhkan Hakim Najwa Che Mat selepas pengurus syarikat mewakili syarikat tersebut selaku OKS mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, syarikat didakwa melanggar syarat-syarat kelulusan lesen dengan melepaskan efluen dari sistem pengolahan efluen ke alur air dengan kandungan keperluan oksigen biokimia melebihi had ditetapkan. – KOSMO! ONLINE