BANDAR BARU BANGI – Suami kepada penyanyi Zehra Zambri, Nur Muhd. Iqwan Samsudin berkongsi lima punca tuntutan permohonan perceraian yang difailkan isterinya.
Menurut Iqwan, antara tuntutan yang membawa kepada permohanan itu adalah tiada lagi persefahaman, culas menjalankan tanggungjawab dan pengabaian selain perkahwinan tidak dapat diselamatkan serta sikapnya.
“Lima alasan untuk cerai, tiada persefahaman, sikap saya, perkahwinan ini tak dapat diselamatkan, pengabaian dan culas tanggungjawab.
“Saya serahkan segala-galanya atas budi bicara mahkamah. Sebelum ini saya dah beri kenyataan, ada beberapa proses sudah dijalankan. Zehra sebelum ini tak nak beri kerjasama.
“Saya pun baru baca semua tuntutan daripada Zehra dan tuntutan ini akan dibaca semula dalam mahkamah,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, hari ini.
Mengikut laporan, Zehra memfailkan perceraian pada 7 Mac lalu.
Menyerahkan segalanya kepada mahkamah, sebagai suami Iqwan menegaskan masih mahu mempertahankan rumah tangga mereka namun reda jika sebaliknya.
“Kami masih berhubung atas dasar anak. Selepas difailkan, saya dimaklumkan hari ini merupakan sebutan pertama. Saya mengharapkan yang baik-baik sahaja.
“Kalau mahkamah rasa perlu dipanjangkan, saya ikut tetapi saya ada pendirian dan mempunyai beberapa perkara untuk diperjelaskan. Cuma sebagai lelaki, pertama sekali kita kena pertahankan rumah tangga.
“Kalau sekiranya isteri kerap minta cerai, kena tanya apa sebabnya. Kalau saya pun, saya dah buat terbaik dan dia pun rasa begitu, jadi kita serahkan saja kepada mahkamah untuk cari punca,” ujarnya.
Terdahulu, Zehra memfailkan cerai secara ‘fast track’ terhadap Iqwan selepas mendakwa selama tiga tahun berkorban mempertahankan rumah tangga.
Pasangan terbabit mendirikan rumah pada 10 November 2021 dan perkahwinan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.
Sebelum itu, penyanyi lagu Semalakama pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Iqwan juga pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE