TAPAH – Pempengaruh politik yang mencetuskan kontroversi seolah-olah lagu kebangsaan dinyanyikan dalam bahasa Cina oleh murid-murid sebuah sekolah telah ditahan oleh pihak polis.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan pempengaruh itu sebelum ini telah ditegur dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) seterusnya menjalankan siasatan.
“Saya dimaklumkan pempengaruh itu telah ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Penerangan Batang Padang di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis Perak telah menahan pempengaruh tersebut yang dikenali sebagai ‘Ratu Naga’ berhubung dakwaannya mengenai pelajar sebuah sekolah Cina di Perak menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Cina.
Peguamnya, Zaid Malek dilaporkan berkata, pempengaruh tersebut ditahan sekitar pukul 12 tengah hari di Petaling Jaya, Selangor di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Sementara itu, Fahmi mengulangi peringatan penguatkuasaan pindaan Akta 588 bermula pada 11 Februari lalu berkaitan kandungan bersifat jelik melampau, fitnah, berita palsu dan menyentuh aspek buli siber boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun RM250,000. – KOSMO! ONLINE