fbpx

Peluang pelajar IPT curah aspirasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH menyampaikan ucapan pada Program Rakan Muda Turun Padang di Auditorium Tun Muhamed Suffian, UM hari ini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Golongan mahasiswa bukan lagi sekadar penerima dasar, sebaliknya menjadi rakan strategik kerajaan dalam membentuk hala tuju pembangunan belia dan sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Program Rakan Muda Turun Kampus 2025 yang kini memasuki siri kedua di Universiti Malaya (UM) berkata, sesi itu membincangkan topik berbeza kerana majoriti peserta terdiri daripada penuntut Ijazah Undang-Undang yang berminat memahami proses pembentukan dasar negara.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) ini membuka ruang kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menyampaikan aspirasi, idea dan pandangan mereka secara terus kepada pimpinan tertinggi kementerian.

Hannah turut menjelaskan pendekatan tahun ini lebih bersifat mendekati secara terus, berbanding tahun lalu yang lebih memfokuskan kepada pengagihan dana.

“Hari ini adalah pelajar, ramai daripada mereka adalah pelajar Ijazah Undang-Undang. Topik perbincangan mereka lebih kepada bagaimana kita membuat polisi dan apa cabaran kita dalam membuat polisi. Sama-sama bincang isu belia, tetapi dari perspektif yang berbeza.

“Tahun lepas kita beri RM1 juta kepada sekretariat Rakan Muda di IPT. Tapi tahun ini kita turun padang untuk jelaskan kenapa kita buat program ini dan apa cabarannya. Kita mahu sekretariat IPT laksanakan program yang berbeza dan sesuai dengan identiti kampus masing-masing,” katanya.

Tambahnya, kementerian menyedari setiap kampus mempunyai karakter unik dan minat pelajar berbeza, justeru pendekatan fleksibel dalam memilih bidang Rakan Muda akan diteruskan.

“Ijazah Undang-Undang mungkin lebih tertarik dengan Rakan Demokrasi, manakala pelajar seni lebih cenderung kepada Rakan Muzik atau Rakan LITA. Jadi, mereka boleh pilih bidang dalam 10 gaya hidup Rakan Muda yang sesuai, dan kami akan beri sokongan dari peringkat negeri,” katanya lagi.

Lebih daripada sekadar taklimat, program ini menjadi saluran penting bagi kerajaan menyampaikan maklumat terkini mengenai dasar serta inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan, di samping mengumpul input langsung daripada generasi muda berkaitan isu-isu semasa.

Pendekatan tersebut selari dengan usaha memperluas pelaksanaan gaya hidup rakan demokrasi dalam kalangan pelajar IPT.

Sebanyak 10 siri Program Rakan Muda Turun Kampus dijadual berlangsung sepanjang tahun ini dan dijangka melibatkan kira-kira 5,000 pelajar dari pelbagai IPTA dan IPTS seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI