PETALING JAYA – Pelan Transformasi Majlis Amanah Rakyat (Mara) penting dalam menjadikan Mara sebagai institusi unggul bagi memperkasa pendidikan, keusahawanan, dan pembangunan sosioekonomi bumiputera.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru beliau yakin Mara berada di landasan tepat untuk melakukan anjakan besar menerusi gabungan kepakaran diterajui oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim yang juga Ahli Majlis Mara dalam aspek kewangan dan tadbir urus.
Menurutnya, selain itu bekas Naib Chanselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Tan Sri Profesor Noor Azlan Ghazali pula dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.
“Saya juga percaya, Ketua Pengarah Mara yang baharu, Datuk Zulfikri Osman, bersama Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi dan barisan kepimpinan Mara akan terus memastikan pelaksanaan transformasi ini berjalan lancar demi manfaat seluruh rakyat.
“Saya menyokong penuh inisiatif ini dan akan memastikan ianya dilaksanakan dengan efektif. Sama-sama kita mendoakan kejayaan Mara dalam membawa perubahan yang lebih besar dan bermakna,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau mendengar pembentangan Pelan Transformasi Mara oleh Ahli Majlis Mara dan Pengurusan Tertinggi Mara berlangsung pada malam tadi.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Pelan Tranformasi Mara penting bagi melonjakkan Mara menjadi institusi terunggul dalam memartabatkan agenda Melayu bumiputera.
“Bagi tujuan ini, dua pasukan khas utama iaitu yang pertama diketuai Tan Sri Muhammad Ibrahim untuk melakukan perubahan menyeluruh aspek kewangan dan tadbir urus korporat Mara.
“Kedua, Tan Sri Profesor Noor Azlan Ghazali untuk mengetuai pasukan memperkasakan agenda pendidikan dan keusahawanan bumiputera Mara.
“Kedua-dua pasukan khas Pelan Transformasi Mara ini akan membantu Ketua Pengarah Mara dan barisan pengurusan tertinggi Mara untuk melakukan pembaharuan dan penambahbaikan kepada Mara dan anak-anak syarikat Mara termasuk Mara Corp. dan 32 anak-anak syarikat di bawahnya,” katanya pada hantaran Facebook.
Beliau bersyukur apabila usaha berkenaan diiktiraf dan diabsahkan oleh menteri untuk dilaksanakan segera.
“Mudah-mudahan Mara yang merupakan konglemerat Melayu bumiputera dengan kakitangan berjumlah hampir 18,000 dapat terus diperkasakan untuk menjadi institusi cemerlang, unggul lagi dihormati,” katanya. – KOSMO! ONLINE