HULU TERENGGANU – Seorang pengusaha dobi layan diri kerugian RM1,500 selepas premis perniagaannya dipecah masuk dua penjenayah di Simpang Sekayu, Batu 24, Kuala Berang, di sini hari ini.
Lelaki berusia 62 tahun itu menyedari kesan umpilan pada mesin pertukaran token dobi sebaik tiba di premis terbabit pada pukul 6.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati perbuatan jenayah tersebut dilakukan pasangan lelaki dan wanita.
“Berdasarkan rakaman tersebut, dua penjenayah terbabit dilihat mengumpil dinding luar mesin pertukaran token itu.
“Mereka kemudiannya memotong peti besi mengandungi wang tunai menggunakan ‘grinder’ (mesin pencanai besi),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek yang disyaki telah melarikan peti besi terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE