KUALA LUMPUR – Pahang di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpotensi untuk menjadi salah satu negeri di Malaysia yang menjadi tumpuan pelabur dari seluruh negara.
Ini kerana beberapa siri rekod kejayaan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang, antaranya adalah kutipan hasil pada 2024 berjumlah RM1.22 bilion, yang bersamaan dengan 107.25 peratus daripada sasaran sebanyak RM1.137 bilion.
Pahang turut berjaya mencatat kejayaan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) setinggi 5.2 peratus, mengatasi KDNK Nasional 3.6 peratus pada 2023 dengan nilai KDNK sebanyak RM64.9 bilion.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCIEF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, Pahang merupakan ‘gergasi yang sedang tidur’ dan mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin ekonomi negara.
Menurut beliau, pimpinan Wan Rosdy bukan sahaja berjaya menaikkan taraf hidup rakyat Pahang dari sudut ekonomi dan peluang kerjaya, tetapi juga mampu memberikan bantuan-bantuan yang dituntut oleh agama Islam dari pemimpin kepada rakyat.
“Pahang adalah negeri yang tradisionalnya merupakan penyumbang terbesar pada negara dahulu tetapi apabila berlaku dinamika seperti pengangkutan dan sebagainya, Pahang agak tercicir kerana negeri itu terletak disebalik banjaran. Jadi limpahan itu banyak dinikmati oleh negeri-negeri di Pantai Barat.
“Perkembangan terbaharu seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sebagainya memudahcarakan Pahang untuk kembali sebagai kuasa besar. Saya berani untuk katakan berdasarkan data pertumbuhan ekonomi antara negeri di Malaysia yang berpotensi tinggi ialah Pahang,” katanya kepada.
Dr. Baharom berkata, potensi Pahang lebih kukuh apabila Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini sudah menyertai gabungan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), selain daripada kedudukan strategiknya di Laut China Selatan.
“Jadi ini bukan sahaja membantu pelabur menjimatkan masa tetapi juga wang dan kos. Nikmat yang bakal diperoleh Pahang bukan sahaja sebagai sebuah negeri tetapi untuk Malaysia secara keseluruhannya.
“Sebab itu Pahang sesuai untuk dijadikan sebagai Gerbang Pelaburan ke Rantau Timur atau East Gateway kerana negeri itu akan memacu pertumbuhan bukan sahaja untuk mereka tetapi Pantai Timur dan Malaysia seluruhnya,” jelasnya.
Tambahnya, Pahang juga mempunyai sumber asli yang banyak dan kapasiti untuk penyediaan tenaga kerja dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Jika kita lihat seperti Ipoh, Johor Bahru dan Lembah Klang ia kini agak sesak, sudah tidak mampu untuk menampung pembangunan tetapi Pahang kita boleh katakan masih boleh melalui pembangunan yang pesat demi menguntungkan rakyatnya.
“Sarawak, satu lagi negeri yang sekarang semakin maju ke depan berada di kedudukan timur Laut China Selatan, dan dengan Pahang di sebelah barat Laut China Selatan memberikan potensi yang amat baik untuk negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE