RAUB – Operasi penguatkuasaan bagi menebang pokok durian musang king di Sungai Ruan di sini akan melibatkan kawasan seluas kira-kira 202.3 hektar (500 ekar) yang merupakan tanah milik kerajaan negeri.
Difahamkan sehingga kini kira-kira 1,000 pokok durian musang king telah ditebang dan dimusnahkan sejak bermula operasi kelmarin.
Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Saifullah Muhammad Ali berkata, operasi penguatkuasaan bagi memutihkan kebun durian musang king haram di Raub ini melibatkan kawasan kebun haram seluas lebih kurang 202.34 hektar.
“Penguatkuasaan kali ini tertumpu bagi pemusnahan durian-durian haram seluas lebih kurang 500 ekar yang mana pokok-pokok durian haram ini berumur daripada lima tahun sehingga 20 tahun.
“Operasi penguatkuasaan bagi pemusnahan durian haram dalam daerah Raub telah dijalankan bermula pada 8 April dengan kekuatan seramai 150 orang,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya operasi ini melibatkan pelbagai agensi daripada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Pejabat Hutan, Pejabat Tanah dan Daerah Raub serta kawalan keselamatan daripada pihak polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA).
Mengulas mengenai sama ada operasi ini melanggar perintah mahkamah seperti didakwa beberapa pihak, beliau berkata ia merupakan satu tohmahan kerana tindakan penguatkuasaan telah diangkat kepada pihak berkuasa negeri dan mendapat kelulusan untuk dilaksanakan.
“Kawasan penguatkuasaan ini seperti yang dimaklumkan oleh pihak Ahli Parlimen Raub sebagai satu kawasan yang terlibat dalam pertikaian perintah mahkamah merupakan satu tomahan kerana kawasan-kawasan tersebut telah dibuat semakan melalui Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri,”katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata, beliau bersama sekumpulan pekebun hari ini turun ke lokasi bagi membantah tindakan penebangan pokok durian yang merugikan pekebun-pekebun terlibat.
Beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan penebangan yang diteruskan dengan mendakwa sehingga kini kira-kira 1,000 pokok durian musang king telah ditebang.
“Saya dan pekebun masih tidak dimaklumkan mengenai kawasan operasi yang terlibat kali ini dan kami akan terus membantah operasi ini,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE