JERANTUT – Sejak usia remaja, Bidin Ariffin, 70, tidak pernah meninggalkan ibadah puasa meskipun dia merupakan orang kurang upaya (OKU) dari lahir.
Lelaki warga emas itu tidak dapat berjalan akibat kecacatan pada anggota lutut dan kaki dan bergerak menggunakan papan beroda untuk ke bilik air.
Anak saudara Bidin, Noor Izam Ahmad, 52, berkata, bapa saudaranya menggunakan papan beroda itu untuk ke bilik air, membersihkan diri dan selepas itu duduk di ruang beranda rumah sepanjang hari sebelum dibawa ke tempat tidur pada sebelah malam.
“Sejak usia kecil hingga kini dia tidak boleh berdiri dan berjalan hingga semua aktiviti harian di dalam rumah perlu dibantu oleh arwah ibu saya yang menjaganya sebelum ini dan kemudian saya ambil alih sejak dua tahun lalu selepas ibu meninggal dunia.
“Dia hanya bercakap sekali-sekala dengan orang dikenalinya termasuk jiran kami kerana sejak kecil dia tidak terdedah dengan orang di luar rumah kecuali ketika dibawa ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika ditemui di Felda Sungai Tekam, di sini semalam.
Ujarnya, dia yang sebelum ini menetap di Selangor terpaksa berpindah bersama keluarga ke Felda Sungai Tekam bagi menjaga kebajikan bapa saudara dan neneknya, Rahmah Shabudin yang kini berusia 102 tahun.
“Bapa saudara saya tidak pernah mengalami gangguan kesihatan sejak kanak-kanak, cuma ada penyakit darah tinggi sejak 2023.
“Walaupun cacat dia mampu berpuasa sejak remaja dan hingga kini tidak pernah meninggalkan ibadah itu,” katanya.
Ujarnya, walaupun Bidin merupakan penerima bantuan JKM sebanyak RM300, tetapi pengurusan kebajikan serta keperluan peralatan seperti lampin pakai buang dan susu khas melebihi jumlah bantuan diterima.
“Saya turut dibantu isteri selepas dia pulang dari kerja untuk mengurus mereka berdua selain mengharap wang gaji isteri untuk belanja empat anak yang bersekolah, bil dan barang dapur cecah RM2,500 sebulan,” katanya.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Izam di talian 019-245 6631 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (Bidin Ariffin) 0610541000057673.