KUALA LUMPUR – Negara-negara anggota ASEAN diseru untuk mengambil peluang mengembalikan keyakinan dengan memperkukuhkan kekuatan dalaman menerusi ekonomi domestik dan ekonomi secara keseluruhan.
Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam masa sama, negara ASEAN juga perlu memastikan hubungan antara negara anggota kekal kukuh, di samping memperkukuhkan hubungan dengan negara Asia dan negara jiran yang lain.
Menurutnya, susulan isu tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, negara anggota ASEAN diminta agar tidak berpegang kepada naratif pesimis dan mengambil sikap berputus asa.
“Kita meneruskan hubungan dua hala dan hubungan dagangan serta pelaburan yang sangat baik dengan Amerika Syarikat.
“Pada masa sama, ASEAN perlu memastikan bahawa hubungan kita, khususnya dengan China, Jepun, Korea dan negara-negara jiran, kekal kukuh dan mantap. Kenapa? Kerana kita perlu melindungi ekonomi kita sendiri,” katanya berucap pada Mesyuarat Menteri ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Beliau berkata, sekiranya asas ekonomi negara itu kukuh, ia sekali gus dapat menjamin keamanan di rantau ASEAN ini.
“Maka kita dapat memastikan hubungan baik dengan semua jiran tetangga. Seperti saya tegaskan, China adalah pemain penting yang tidak boleh diabaikan.
“Beberapa negara mungkin mempunyai masalah, tetapi kita akan terus mengemudi secara terbaik, demi menjamin keamanan dan keselamatan. Sambil memastikan kita mendapat manfaat maksimum dalam bentuk pelaburan ekonomi dan sektor berkaitan,” katanya.
Berhubung lawatan negara oleh Presiden China, Xi Jinping bermula 15 hingga 17 April ke Malaysia, Anwar menyifatkan ia satu cabaran besar bukan sahaja untuk Malaysia, malah negara ASEAN yang lain dalam menunjukkan makna sebenar ‘centrality’ (keutamaan serantau).
“Mengapa kita perlu melibatkan semua anggota, dan mengapa pendekatan kita yang lebih positif dan pragmatik dalam berurusan dengan semua pihak adalah penting. Harapan kita ialah isu-isu yang kontroversi dapat diselesaikan.
“Kedudukan ASEAN adalah jelas, kita menyokong perdagangan bebas dan berpandukan peraturan (rule-based order).
“Ini bermakna kita terus komited terhadap penyertaan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia sebagaimana yang telah kita lakukan sejak beberapa dekad lalu. Jadi saya tidak melihat ini sebagai satu masalah besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE